IPOH, 17 MAC : Pemain yang baru mendapat taraf naturalisasi, Guilherme De Paula perlu meningkatkan persembahan untuk membantu Perakmencatat kemenangan ke atas Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.

Sumbangan pemain kelahiran Brazil itu setakat ini belum mencapai piawaian diharapkan penyokong pasukan The Bos Gaurus.

Ketika pemain import pasukan lain memberi sumbangan berkesan kepada pasukan mereka, malangnya De Paula serta rakan senegara, Careca masih  sifar jaringan.

Daripada tiga perlawanan setakat ini Perak sudah menjaringkan dua gol.

Kedua-dua gol itu disumbangkan oleh J. Partiban dan Muhammad Farhan Roslan ketika Perak mengatasi Sri Pahang FC, 2-0 di Kuantan.

Bagaimanapun kedua-dua pemain bagaikan buntu dalam perlawanan bertemu PJ City FC dan Terengganu.

Berikutan ketumpulan mereka setakat ini, De Paula dan Careca mula menjadi bahan kecaman dan kritikan peminat Perak.

Peminat mahu De Paula yang sudah mendapat taraf pemain tempatan dan terpilih dalam senarai untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan diadakan di Johor Bahru bermula 22 hingga 30 Mac ini menunjukkan justifikasi terhadap taraf naturalisasi yang diberikan serta keyakinan Tan Cheng Hoe terhadapnya.

Kemarahan penyokong difahami kerana bukan sahaja mereka tumpul tetapi kedua-dua pemain tidak menunjukkan kemampuan sebenar yang dimiliki.

Berikutan itu sudah wujud gesaan supaya Perak mencari pengganti mereka apabila jendela perpindahan kedua dibuka Mei atau Jun nanti. – UTUSAN ONLINE