SUNGAI SIPUT, 17 Okt – Walaupun perayaan Deepavali akan disambut dua minggu lagi, namun pelbagai pihak mula menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Misalnya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan RYTHM mengedarkan bag makanan kepada 60 keluarga dari golongan B40 di sini, bagi meringankan beban mereka menyambut Deepavali.

Penyelaras program, T. Latha berkata, mereka mengedarkan bantuan itu bagi membolehkan keluarga penerima membuat persiapan awal untuk menyambut perayaan berkenaan.

“Tujuan kami mengadakan acara hari ini adalah untuk mengagihkan bakul makanan kepada golongan B40 di sekitar Sungai Siput.

“Kami bukan saja memberi bakul makanan ini kepada kaum India tapi kepada orang pelbagai kaum yang menduduki kawasan Sungai Siput ini.

“Ini adalah untuk mengurangkn beban mereka setelah sekian lama terjejas dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian itu di sini, hari ini.

Menurutnya, selain bantuan itu, Yayasan RYTHM turut melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat seperti menganjurkan kelas-kelas kemahiran.

Beberapa penerima yang ditemui mengakui sumbangan itu sangat membantu mereka untuk menyambut Deepavali selepas rentas negeri dibenarkan.

Guru Tadika, D. Chandrakala berkata, dia sendiri sangat terkesan dengan Covid-19 apabila tadika terpaksa ditutup lama ketika pandemik.

“Bantuan ini sangat membantu untuk saya buat persiapan, seperti membuat kueh mueh, terima kasih atas sumbangan ini,” ujarnya.

Bagi penuntut Politeknik Seberang Prai, V. Priya Sri, bantuan itu sangat bermakna bagi keluarganya bagi menyambut Deepavali

“Dengan bantuan ini bolehlah kami sekeluarga menyediakan persiapan awal untuk perayaan Deepavali,” ujarnya.