LUMUT, 23 APRIL : Sejak setahun lalu, Shamsiah Husin, 75, terpaksa menumpang di rumah anak perempuannya setelah bekalan air ke rumahnya di Kampung Baharu Ayer Tawar di sini dipotong kerana tidak mampu melunaskan bil air yang mencecah RM1,039.

Bil tinggi itu berpunca daripada masalah kebocoran paip menyebabkan warga emas itu yang tiada pendapatan tetap tidak mempunyai wang untuk membaiki kerosakan tersebut menyebabkan bil airnya terus meningkat setiap bulan.

Shamsiah sebelum ini tinggal bersama suaminya, Allahyarham Othman Shah Abdul Jamil yang meninggal dunia disebabkan komplikasi pelbagai penyakit.

Keadaan Shamsiah itu mendapat perhatian Ketua Srikandi Bahagian Lumut, Norhaslinda Zakaria semasa mengadakan program turun padang menyantuni keluarga susah di perkampungan tersebut baru-baru ini.

Menurut Norhaslinda, hasil semakan, Shamsiah mengaku dia terlupa hendak membayar bil air itu semasa menjaga suaminya yang sakit menyebabkan bil tertunggak selain masalah paip bocor yang tidak dibaiki.

“Susulan itu, kita telah pergi ke Pejabat Lembaga Air Perak di Manjung untuk memohon pengurangan bayaran bil air dan penyambungan semula, tetapi ditolak kerana tunggakan itu telah lama dan perlu dibayar kesemuanya.

“Alhamdulillah, seorang dermawan telah tampil membantu kita melunaskan bil air ini manakala Srikandi Bahagian Lumut membiayai kos RM350 bagi membaiki paip dan penyambungan semula bekalan air ke rumah Shamsiah dan dapatlah dia menyambut Ramadan di rumah sendiri,” katanya di sini baru-baru ini.

Kata Norhaslinda, pihak­nya juga akan berusaha untuk mendapatkan lain-lain bantuan yang sesuai termasuk menerusi Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain mencari dana bagi membaiki kerosakan pada rumah Shamsiah.

Sementara itu, Shamsiah mengucapkan rasa bersyukur atas keprihatinan pihak yang membantunya, apatah lagi dapat menyambut Ramadan di rumah sendiri walaupun dalam keadaan bocor di sana sini.

“Sebelum ini saya menumpang di rumah anak perempuan yang juga tinggal di rumah sumbangan kerajaan dan dia pun hidup susah kerana mempunyai ahli keluarga yang besar.

“Dengan ada bekalan air ini saya kembali tinggal di rumah sendiri bersama seorang lagi anak lelaki yang juga hanya be­kerja kampung,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE