IPOH, 24 Nov – Dewan Negeri Perak komited untuk memperkasakan penyelidik Dewan Negeri serta pegawai-pegawai khas berhubung dengan penyelidikan yang signifikan kepada Ahli Dewan Negeri.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata hal berkenaan amat penting dalam membuat setiap keputusan bagi kepentingan rakyat di Negeri Perak.

Katanya, pada ketika ini, Dewan Negeri Perak mempunyai tiga Pegawai Penyelidik di Unit Penyelidikan Dewan Negeri Perak yang menjalankan kerja penyelidikan berkaitan Dewan.

Selain daripada itu, ujarnya penyelidik Dewan Negeri turut sama menjadi sebahagian daripada sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Negeri Perak dalam memastikan kerja-kerja penyelidikan dan pelaporan dibuat dengan teliti dan teratur.

“Dewan Negeri Perak turut sama mengalu-alukan penyelidikan daripada Universiti Awam atau Swasta, badan bukan Kerajaan malah badan pemikir di dalam negeri untuk turut sama menyumbang hasil penyelidikan mereka kepada Ahli Dewan Negeri dalam menjadikan institusi ini sebuah ‘informed legislative body’.

“Selain daripada itu, mungkin sudah sampai masanya badan perundangan seperti Parlimen mahu pun Dewan Negeri mengadakan satu kajian berhubung keperluan ahli-ahli Dewan Negeri mempunyai penyelidik secara khusus kepada mereka dalam membantu kerja-kerja penyelidikan yang gaji mereka boleh dibayar kerajaan.

“Idea seperti ini telah lama dipraktikkan di beberapa buah negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu katanya beliau merasmikan Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri anjuran Dewan Negeri Perak dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Rabu.

Bengkel itu tersebut disertai 80 peserta terdiri daripada pegawai khas Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri, pegawai khas Ahli Dewan Negeri Perak, penyelidik Dewan Negeri Perak serta Perwakilan Dewan Belia Perak

Menurut Mohamad Zahir, penganjuran bengkel berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta berhubung dengan amalan terbaik penyelidikan perkhidmatan badan perundangan atau legislatif, khususnya dalam memberikan perkhidmatan kepada semua ahli Dewan.

“Selain forum bersama Ahli Dewan Negeri, bengkel itu juga memberi pendedahan berhubung peranan penyelidik dalam Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas di beberapa buah negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan sebagainya.

“Bengkel selama satu hari ini meliputi pelbagai aktiviti seperti ceramah dan latihan dalam kumpulan dalam menyediakan produk penyelidikan badan legislatif.

“Antaranya seperti Analisis Rang Undang-undang, Nota Isu Semasa, Nota Ikhtisar dan Percakapan dan sebagainya yang dikendalikan oleh Konsultan Badan Legislatif merangkap Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik dan Demokrasi, Idzuafi Hadi Kamilan,” katanya lagi.