IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin penganjuran Dialog Pangkor 2017 mampu menghasilkan idea pembangunan masa depan yang lebih teratur dan tidak bersifat keterlaluan.

Beliau berkata, dialog bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pelbagai tokoh, pakar, ahli akademik dan pelabur dari serata dunia untuk bertukar ilmu pengetahuan itu juga akan memberi pelbagai impak positif bukan sahaja kepada Perak malah negara secara keseluruhannya.

“Dialog Pangkor adalah pertukaran pengetahuan antarabangsa yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan.

“Malah, ia adalah unik kerana salah satu daripada beberapa dialog di dunia yang dipromosikan oleh Kerajaan Negeri dan wawasan yang berharga ini memberikan pemahaman yang lebih besar mengenai isu-isu yang dihadapi,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Dialog Pangkor 2017 yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini pada Isnin.

Menurut beliau, Dialog Pangkor juga diyakini akan menyumbang kepada perkongsian penggunaan maklumat dalaman ke arah penyelesaian cabaran sejagat.

Malah katanya, penglibatan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam dialog itu juga merupakan pengiktirafan kepada kepentingan rangkaian pembangunan global untuk pertumbuhan antarabangsa.

“Menggalakkan perubahan dan menghubungkan negara-negara dengan pengetahuan, pengalaman dan sumber daya adalah antara saluran yang terbaik untuk membantu dunia membangun kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut sempat mengucapkan tahniah kepada kerajaan Perak dan Dr Zambry ke atas kejayaan penganjuran Dialog Pangkor 2017 yang kini mula mendapat perhatian dunia bagi bidang pembangunan dan pertumbuhan mampan.

“Bagi pihak Kerajaan Persekutuan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha yang berterusan untuk menggalakkan dialog ini dan menjadikan Perak sebagai pusat perbincangan untuk pertumbuhan masa depan. Kita boleh berbangga dengannya,” ujar beliau.

Pada majlis itu, seramai 10 tokoh menerima anugerah sempena dialog berkenaan, antaranya mendiang Tun V T Sambanthan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan dua ahli sukan negara, Cheong Jun Hoong serta Leong Mun Yee.

Penerima lain ialah Tan Sri Dr Kamal Salih, Datuk Mohammad Nor Khalid, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Dr Anil K Gupta, Jorge Jamil Mahuad Witt dan Dr Catherine Grace Coleman.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penganjuran Acara Paling Banyak Dalam Seminggu membabitkan Temasya Idea Perak atau Perak Festival of Ideas (PFoI) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong.

*sumber gambar : Twitter @zahid_hamidi