KUALA LUMPUR, 15 JAN : Tanpa ada niat untuk menyelar jauh sekali menghina orang lain, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan secara terbuka memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan kenyataannya sebelum ini.

Permohonan maaf itu dibuat Ahli Parlimen Pontian itu susulan kenyataannya bahawa hanya graduan Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) sahaja dapat memahami keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas Ahmad, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merendahkan orang lain dan sebarang kelakuan seumpamanya yang berlaku adalah tidak disengajakan.

“Ya benar saya minta maaf kepada pihak yangg terkilan terhadap saya. Bukan perangai saya untuk rendahkan orang lain. Bererti itu bukan disengajakan,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya.

Kenyataan itu dibuatnya selepas menonton laporan berita memaparkan reaksi seorang pemarut kelapa yang berpandangan PRU tidak wajar diadakan buat masa ini kerana penularan COVID-19 masih berlaku.

Dengan rasa kesal, Ahmad berjiwa besar memohon maaf sambil mengingatkan asal-usul dirinya selain tidak berniat menghina orang lain.

“Berbahas di Dewan Rakyat itu lain. Pun saya tak pernah hina mereka. Saya dilahir dalam keluarga miskin, anak penoreh. Bukan sifat saya hina orang,” tambah beliau lagi. -AWANI