KUALA LUMPUR, 24 Mac – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak dan The Chartered Institute Logistics and Transport (CILT) Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menangani isu kebolehpasaran graduan.

Sebagai permulaan, kerjasama adalah berkaitan Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) “Career Advancement Programme” dan atau KPT-CAP.

Ketiga-tiga pihak mengadakan perbincangan mengenai kerjasama itu di Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat KPT, di sini, semalam.

Yang Dipertua DPPM Perak diwakili Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah yang juga Pengerusi Cawangan CILT Perak manakala deligasi CILT diketuai Presiden CILT International Datuk Abd Radzak Abd Malek.

Deligasi disambut Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat KPT, Mohd Sharil Abdullah.

Program PENJANA KPT-CAP adalah usaha kerajaan bagi menangani isu kebolehpasaran graduan diploma dan ijazah sarjana muda bagi graduan 2020, termasuk graduan 2019 yang belum mendapat pekerjaan.

Ia secara tidak langsung dapat membantu memulihkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek bagi sektor-sektor yang terjejas.

Program ini memastikan graduan program peningkatan kemahiran itu memperoleh pekerjaan setelah tamat kursus.

Kursus di bawah program KPT-CAP itu direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat yang bakal mengambil graduan berkenaan sebagai pekerja mereka.

DPPM dan CILT berharap, di samping program ini, mereka dapat menjalin kerjasama dengan KPT dalam program-program lain yang berkaitan tanggungjawab sosial, khususnya dalam bidang logistik dan pengangkutan.