IPOH, 7 MAC – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A. Sivasubramaniam yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi kesan kepada perjalanan pentadbiran di Perak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Saarani Mohamad berkata sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua individu termasuk ahli politik berhak membuat pilihan masing-masing.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata ketika ini barisan Exco Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu sedang memberi penumpuan penuh terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja berhak untuk memilih apa sahaja (parti yang mereka mahukan). Jadi, memang tidak ada sebarang masalah (pentadbiran kerajaan negeri).

“Apa-apa pun, kita tunggu sahaja Pilihan Raya Umum, nanti kita ‘berperang’ (antara parti politik”) waktu itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedua-dua Adun bekas DAP itu yang menyertai Bersatu, seperti dilaporkan baru-baru ini.

Saarani ditemui pemberita selepas menyertai program gotong-royong di Rumah Pangsa Jalan Pasir Putih yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin di sini, pada Ahad.

Untuk rekod Sivasubramaniam dan Paul Yong mengumumkan keluar parti DAP pada Mac tahun lalu kerana menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Sivasubramaniam kemudiannya mengumumkan menyertai Gerakan pada Jun 2020 manakala Paul Yong pula memilih menjadi Adun bebas.