TAIPING, 9 DIS : Polis menahan dua lelaki kerana disyaki mengutip derma menggunakan nama Persatuan Bekas Polis Malaysia, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 27 dan 26  ditahan pada pukul 1.15 tengah hari di sebuah premis kenderaan terpakai di Jalan Assam Kumbang di sini.

Katanya, tangkapan dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat berkaitan suspek yang mengutip wang daripada orang awam bagi pihak persatuan.

“Pemeriksaan badan ke atas suspek tidak menemukan barang salah namun mereka mengaku kehadiran mereka ke premis itu adalah untuk mengutip wang bagi mewakili persatuan.

“Kedua-dua suspek ditangkap dan barang rampasan termasuk pas berwarna biru, buku resit dan dua keping surat kebenaran bercetak tulisan Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi program Jelajah Patriotik dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan,” katanya di sini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku sebagai ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia untuk mengutip derma di sekitar premis perniagaan di Taiping.

“Kedua-dua mereka didapati tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalan 1947.-UTUSAN