MANJUNG, 5 Mei – Dua kru bot nelayan tempatan warga Myanmar dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian ribut di perairan Pantai Remis, semalam.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah malam tadi sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot tersebut antara empat bot nelayan kelas B yang dilaporkan karam akibat dilanda ribut ketika keluar menangkap ikan.

Bagaimanapun ujarnya, hanya dua kru daripada sebuah bot berkenaan dikhuatiri hilang, manakala kru tiga bot lagi dilaporkan selamat.

“Jumlah sebenar mangsa masih dikenal pasti dan semua bot itu berpangkalan di Pantai Remis dan dimiliki oleh tiga majikan berbeza.

“Berdasarkan maklumat seorang majikan gagal menghubungi botnya pada 8.30 malam sebelum melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada Rabu.

Beliau menambah, pihaknya turut menggerakkan Bot Perkasa 1223 dan Kapal Maritim Nyalau untuk operasi SAR di lokasi bot berkenaan dilaporkan karam.