IPOH, 26 FEB : Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita yang disyaki mengambil upah membuat ugutan dengan menyimbah cat merah di rumah peminjam ah long dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Manjung.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 42 tahun itu ditahan dalam operasi khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan menerima dua laporan daripada mangsa yang berada dalam ketakutan.

“Kedua-dua mangsa menerima notis ugutan yang mengarah untuk menghubungi ah long.

“Mangsa tidak ketahui jumlah pinjaman dan ah long yang memberi pinjaman kepada ahli keluarga mereka yang kini dipercayai berada di Singapura.

“Risikan selama seminggu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik sewa sekitar Bercham, Ipoh pada 16 Februari dan tiga lelaki di stesen minyak sekitar Manjung, Rabu lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil risikan polis mendapati dua kumpulan itu menjalankan aktiviti berkenaan sejak Mac dan Disember 2020 sehingga kini.

Beliau berkata, sindiket ini telah melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas rumah keluarga serta membuat rakaman video bagi tujuan membuat ugutan jenayah kepada keluarga peminjam.

Polis turut merampas lima telefon bimbit, cat merah, pakaian, botol cecair berwarna merah dan dokumen notis amaran. Siasatan lanjut mendapati empat suspek didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 427 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat pinjaman wang dengan mana-mana individu atau syarikat yang tiada lesen melalui internet.

Orang awam pula diminta memberi kerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat kegiatan ah long yang berlaku di kawasan masing-masing.