IPOH, 14 Okt – Polis Perak menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pembunuhan seorang lelaki pesara tentera di Bukit Sumpitan, di Selama pada 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil siasatan mendapati mangsa, 42, telah dilarikan dari kediamannya di Taman Ngah Ibrahim di Taiping secara paksa kira-kira jam 4 pagi hari yang sama.

Katanya suspek melarikan mangsa dengan bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera.

“Suspek pertama merupakan seorang tentera, 34 dan seorang lagi suspek adalah orang awam yang bekerja sendiri berusia 31 tahun. Difahamkan mangsa mengenali kedua-dua suspek berkenaan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek telah membawa pihak polis ke sebuah kawasan di Bukit Sumpitan, Selama dan menunjukkan lokasi di mana mangsa telah dibunuh.

“Mayat mangsa yang ditemukan selepas tiga hari kejadian berkenaan berada kira-kira 60 meter dari bahu jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujar Mior Faridalathrash kejadian dipercayai berpunca daripada masalah cemburu suspek yang berkhidmat sebagai anggota tentera itu kerana menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

“Hasil pemeriksaan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat kejadian, mendapati lima kesan tikaman di bahagian belakang dan empat tikaman pada bahagian depan tubuh badan mangsa. Dipercayai tikaman berkenaan menggunakan senjata tajam.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun , di Ipoh untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya lagi.

Mior Faridalathrash berkata suspek anggota tentera telah ditahan di Taiping pada jam 9 malam 12 Oktober sementara seorang lagi suspek ditahan di Perlis pada jam 10 malam, 13 Oktober lalu.

Jelas beliau kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah di dalam Daerah Taiping serta pembunuhan di Daerah Selama.

Tambah Mior Faridalathrash suspek direman sehingga 20 Oktober untuk tujuan siasatan.

Katanya kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya Perak dalam masa terdekat bagi arahan selanjutnya .