IPOH, 9 Mei – Dua pemain masyarakat Orang Asli antara diumumkan bagi melengkapkan 28 barisan pemain Kelab Bola Sepak MNY atau MNY FC yang bakal berentap merebut gelaran juara Liga M3 bagi musim 2021.

Muhd Haikell Ali, 19, dan Refon Roslan, 19, masing-masing berasal dari Gerik dan Gua Musang, Kelantan itu merupakan masyarakat Kaum Temiar selain berkongsi gembira apabila diberi peluang untuk beraksi bersama MNY FC.

“Saya berasa gembira kerana dapat menyertai MNY FC dan berterima kasih atas peluang yang diberikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran MNY FC di Tower Regency Hotel & Apartments, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Pasukan MNY FC, Muhammad Aliff Johari serta Ketua Pegawai Eksekutif , R. Surendren.

Menurut Ketua Jurulatih, S. Sathia Kumaran MNY FC sentiasa memberi ruang kepada semua individu tanpa mengira latar belakang untuk mengembangkan bakat dan peluang mereka dalam arena bola sepak tempatan.

“Selagi berkebolehan dan berbakat, kita tidak kira mereka ini dari mana. Kita tidak mahu bakat mereka hanya terhenti dari tempat mereka berasal. Sebaliknya kita mahukan mereka ini pergi lebih jauh,” katanya.

Terdahulu pada majlis pelancaran tersebut turut diumumkan barisan pemain yang terdiri daripada pemain amatur dan bekas-bekas pemain yang berpengalaman beraksi bersama pasukan negeri dan skuad kebangsaan.

Kata Sathia Kumaran daripada 130 individu yang disenarai pendek susulan sesi pemilihan terbuka pada Februari diikuti dua minggu sesi penilaian akhir, 28 pemain akhirnya berjaya membarisi skuad MNY FC.

Mereka antaranya Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Afiq Azmi, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, Khairul Amri Salehuddin, serta Hamizul Izaidi Zulkefli .

Selain itu, MNY FC juga bakal diperkuatkan dengan beberapa pemain yang pernah menyarung jersi skuad Liga Super seperti Muhamad Norfiqrie Abdul Talib dan Aminuddin Abu Bakar dari Kedah serta bekas pemain Perak, Hamizul Izaidi Zulkifli.

Difahamkan Norfiqrie dan Aminuddin pernah merasai pengalaman berlatih di luar negara selama sebulan apabila Norfiqrie mendapat peluang menjalani latihan selama sebulan di Perth Glory manakala Aminuddin pula ke Cardiff City.

Dalam majlis sama, Samudra Group of Companies telah diumumkan sebagai penaja utama pasukan manakala Tower Regency Hotel & Apartments selaku penaja bersama serta jenama dari Itali, Kronos selaku penaja kelengkapan rasmi MNY FC.

Sesi menandatangani kontrak telah diadakan antara MNY FC diwakili, R. Surendren dengan Samudra Group of Companies yang diwakili Md Paisal Hamsan serta Simon Leong Hoe Kin mewakili Tower Regency Hotel & Apartments.

Sementara itu, Kronos diwakili oleh Vincent Lai Wai Onn bagi sesi menandatangani kontrak.

“Sehubungan dengan ikatan yang terjalin, Kronos telah bersetuju untuk menaja pasukan utama serta pasukan pembangunan MNY FC bagi tempoh dua tahun,” kata kenyataan media MNY FC.