IPOH, 2 JAN – Dua peniaga didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas tiga tuduhan menipu tiga orang wanita berhubung pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500, tahun lalu.

Tertuduh, Reduan Ismail, 38 dan Adan Ibrahim, 33, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa menipu seorang wanita sebanyak RM26,000 dengan menjanjikan pulangan 20 peratus selama tujuh bulan berturut turut.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Casuarina Ipoh pada jam 12 tengahari, 26 Julai tahun lalu.

Mereka turut dituduh menipu seorang wanita lain sebanyak RM120,000 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh menipu seorang lagi wanita sebanyak RM4,500, pada jam 10 pagi, 8 Mei lalu di tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat juga denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 bersama seorang penjamin untuk setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.