IPOH, 4 Jun – Kerajaan Perak akan membuka dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di daerah Kinta dalam masa terdekat

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata lokasi yang akan terbabit dengan inisiatif itu adalah di Stadium Indera Mulia serta di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, dekat sini.

Katanya pemilihan daerah Kinta adalah berdasarkan kepada jumlah kepadatan penduduk yang paling tinggi di negeri ini.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri yakin ia mampu meningkatkan anggaran suntikan vaksinasi harian antara 800 hingga 1500 sehari selain mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada.

“PPV Pandu Lalu ini juga akan dilaksanakan di daerah lain secara berperingkat,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Selain PPV Pandu lalu, beliau turut mengumumkan perlaksanaan program saringan kit ujian pantas (RTK) antigen secara bersasar mengikut lokaliti kawasan tumpuan atau hotspot penularan COVID-19 berdasarkan analisis data oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Saringan secara lokaliti bersasar ini akan membantu mengenal pasti mereka yang positif tetapi tidak bergejala tetapi berisiko menularkan jangkitan sekali gus membantu JKN mengesan jangkitan lebih awal dan memulakan rawatan.

“Inisiatif ini menunjukan komitmen kerajaan negeri dalam membendung penularan wabak COVID-19 serta membantu meringankan beban tugas JKN. Program ini dijangka akan segera dilaksanakan segera pada bulan ini,” jelas beliau.

Terdahulu dalam sidang media terbabit Menteri Besar menggariskan antara lima inisiatif kerajaan negeri dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

Ianya adalah Program Saringan Covid-19; Inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu; Program Outreach Vaksinas COVID-19: Penyediaan Pengangkutan Kepada Penerima Vaksin; serta Pembelian Vaksin Oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

Katanya menerusi inisiatif tersebut kerajaan negeri menetapkan sasaran 15,000 suntikan harian pada Jun berbanding purata 8,000 suntikan harian pada bulan Mei.

Tambahnya sekiranya ia berjaya fasa kedua program imunisasi dapat diselesaikan segera bagi membolehkan fasa ketiga dimulakan.

“Sasaran ini dijangka meningkat menjelang Julai, Ogos dan September memandangkan pada tempoh itu, kerajaan Persekutuan menjangkakan akan menerima lebih banyak bekalan vaksin termasuk 12 juta vaksin Sinovac pada Julai dan 25 juta vaksin Pfizer menjelang suku ketiga tahun ini,” kata Menteri Besar.