IPOH, 28 Mei – Dua pasangan suami isteri dan dua beradik antara enam individu yang ditahan Polis Perak kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini yang aktif sejak tahun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita masing-masing berumur antara 26 sehingga 34 tahun.

Katanya dalam serbuan yang dilakukan di beberapa buah rumah berasingan di Ipoh pada Rabu dan Khamis, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai hampir RM2 juta.

Jelas beliau pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Kampung Simee di sini pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu dan menemukan 26.31 gram dadah dipercayai ketamin dan 100 biji dengan anggaran berat 30 gram dadah disyaki Eramin 5.

“Susulan penahanan lelaki tersebut, pada hari yang sama polis melakukan tiga serbuan berasingan di tiga buah rumah di Kampung Simee, Tambun dan Bercham di sini dan menahan tiga individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun.

“Dalam serbuan di rumah di Kampung Simee, kita merampas 12,800 biji pil dipercayai Eramin 5; 1,000 biji pil disyaki Ecstasy; 665 gram dipercayai ketamin, 13,650 gram serbuk disyaki dadah, serta 183 paket serbuk minuman dengan anggaran berat 5,460 gram dipercayai dadah.

“Polis turut melakukan dua serbuan di sekitar kawasan Bukit Merah dan Kampung Rapat di sini pada pukul 5.10 petang semalam serta menahan dua lelaki berumur 27 dan 34 tahun. Hasil pemeriksaan telah menemukan 2.6 gram disyaki dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Jumaat.

Justeru katanya jumlah keseluruhan dadah dirampas meliputi 12,900 biji pil disyaki Pil Erimin 5; 1000 biji pil disyaki Pil Ecstasy; 693.91 gram disyaki Ketamin; 13,650 gram serbuk disyaki dadah; serta 183 peket serbuk minuman disyaki dadan anggaran berat 5,460 gram.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada sekitar 110,000 pengguna dadah untuk pasaran tempatan.

Selain itu katanya dalam serbuan sama polis merampas empat kereta masing-masing jenis Toyota Harrier, Toyota Estima, Toyota Camry, Honda Civic serta sebuah motosikal jenis Kawasaki Versys dan pelbagai barangan lain yang kesemuanya bernilai RM 262,596.

Mior Faridalathrash berkata hasil siasatan awal terhadap kesemua enam suspek, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau selain hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang positif dadah.

“Suspek pertama berusia 32 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 2 Jun manalala lima lagi suspek direman selama empat bermula semalam hingga 30 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.