PONTIAN, 24 FEB : Pengalaman selama lima tahun sebagai jurujual kereta memudahkan seorang wanita yang menceburi perniagaan menjual udang galah di tepi jalan melayan pelanggan yang mahu mendapatkan bekalan udang tersebut.

Tidak perlu lagi berpakaian kemas seperti semasa menjadi salesgirl dahulu, Rohayu Abd. Najid, 28, mengetepikan perasaan malunya setelah berhenti kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu.

Dia mengganggap tiada rezeki di Pulau Pinang kerana syarikat tempatnya berkerja ditutup menyebabkanya tiada pilihanselain pulang ke kampung di Benut, dekat sini.

“Setelah buntu memikirkan pekerjaan yang dapat dilakukan di celah-celah pandemik ini, saya membuat keputusan menjual udang galah sejak dua bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika berniaga di hadapan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pontian, dekat sini semalam.

Rohayu berkata, dia mengusahakan perniagaan itu bersama sepupunya, Nur Sarina Najat, 29, bagi mencari pendapatan baharu selepas terpaksa melepaskan pekerjaan lama yang memperoleh ribuan ringgit setiap bulan.

Katanya, udang galah yang diternak di kolam itu dibekalkan abang iparnya dari Terengganu sebanyak 2,000 ekor pada setiap hari sebelum dijual pada harga RM1 ke RM1.50 seekor mengikut saiz.

“Memandangkan setiap hari udang segar sampai, saya dan Nur Sarina memastikan jualan dapat dihabiskan pada setiap hari ketika berniaga mulai pukul 7 pagi sehingga habis jualan.

“Saya pun tidak rasa kekok melayan pelanggan memandangkan pekerjaan sebagai jurujual kereta sebelum ini memerlukan saya berjumpa dengan orang ramai pada setiap hari,” katanya yang turut menjual kira-kira 200 ekor ketam di situ.

Jelas Rohayu, dia berpuas hati dengan kehadiran pembeli dalam kalangan suri rumah yang singgah di gerai sementara itu sehingga mereka mampu mencatatkan keuntungan sehingga RM200 sehari yang disifatkan cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, dia akan terus menjalankan perniagaan di bawah payung walaupun terpaksa berdepan cuaca hujan dan panas berbanding dalam suasana selesa berhawa dingin ketika menjadi jurujual dahulu.

“Sekiranya ada modal mencukupi, saya juga teringin berniaga di lokasi yang kekal seperti kedai agar lebih banyak jenis jualan dapat diletakkan termasuk ikan segar, ayam serta sayur-sayuran,” katanya. – UTUSAN ONLINE