Tanjung Malim, 11 FEB : Polis mendapati sindiket pengedaran dadah mengubah modus operandi daripada menggunakan motosikal pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama kepada lori atau kereta ketika PKP 2.0 dilaksanakan di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Pengarah 1 Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, ketika PKP fasa pertama, motosikal digunakan untuk mengedar dadah berskala kecil di kawasan tertentu seperti di Lembah Klang.

Katanya, pada PKP 2.0, modus operandi berubah dengan menggunakan kenderaan lebih besar seperti kereta atau lori dengan skala lebih besar.

“Pengedar akan menyorokkan dadah di bahagian komponen tertentu pada kenderaan. Perubahan ini menyebabkan pihak JSJN tidak akan berdiam diri bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah dibanteras sepenuhnya.

“Sebab itu, kita lihat hari-hari di media massa pasti ada berita mengenai tangkapan, serbuan dan rampasan berjaya dilakukan oleh pihak JSJN sama ada di peringkat daerah, negeri atau Bukit Aman ketika PKP kali ini,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Jeneral Turun Padang di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Stesen Bas Tanjung Malim, dekat sini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Zainudin berkata, untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah ketika PKP 2.0, polis akan memperketatkan lagi elemen pemeriksaan di setiap SJR.

“Ada sesetengah negeri, kita akan menggunakan anjing pengesan untuk membantu mengesan dadah terutama negeri yang mempunyai bilangan kenderaan yang tinggi.

“Di samping itu, ketika PKP walaupun pusat hiburan ditutup tetapi kita lihat masih juga berlaku penyalahgunaan dadah dalam parti persendirian berdasarkan tangkapan di negeri tertentu baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diharapkan dapat membantu polis dengan menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan setempat. – Harian Metro