IPOH, 15 Jun- Empat buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk penghantaran makanan, musnah terbakar di sebuah restoran makanan segera dekat Jalan Kuala Kangsar, di sini pada Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.02 tengah malam.

Katanya motosikal itu musnah terbakar kira-kira 60 peratus, namun tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan.

“Pihak kami terima panggilan pada jam 12.02 tengah malam, seterusnya petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi, dengan bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.

“Pasukan Bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan oleh Komander Operasi membuat pemadaman menggunakan satu aliran hose reel sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.39 tengah malam.