Kota Bharu 3 Dis : “Enam jam kami berhadapan dengan debaran apabila ombak mencecah ketinggian dua meter kerap menghempas dan melangkaui benteng penahan menyebabkan air hampir memasuki rumah,” kata penduduk Kampung Pantai Kundor, di sini, Nik Abdul Aziz Mamat.

Nik Abdul Aziz, 67, berkata, air mulai pasang pada 4 petang semalam dan ahli keluarganya segera mengemas segala peralatan dalam rumah sebelum meletakkannya di tempat tinggi.

“Walaupun sudah biasa berdepan dengan keadaan ini kerana setiap tahun musim tengkujuh, perasaan risau tetap ada dan bimbang ombak menghempas bumbung rumah.

“Biasanya apabila berlaku air pasang, bahagian dapur adalah ruang mula-mula dimasuki air sebelum ia mengalir ke ruang tamu menyebabkan kami menanggalkan tikar getah lebih awal bagi mengelakkan ia rosak.

“Malam tadi, air daripada hentaman ombak tidak sempat masuk ke rumah, tapi sudah menghampiri dapur. Sehingga keadaan reda pada 10 malam, debaran tetap dirasai kami lima beranak,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hari ini menjangkakan hujan lebat yang kini melanda beberapa kawasan di negeri Pantai Timur dijangka berlarutan dan semakin buruk.

MET Malaysia turut mengeluarkan Amaran Cuaca Buruk (peringkat jingga) dan Amaran Cuaca Waspada (peringkat kuning) untuk beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu.

Amaran Cuaca Buruk dikeluarkan untuk sembilan kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Berdasarkan ramalan itu, Nik Abdul Aziz berkata, dia menjangkakan fenomena air pasang akan berlaku lagi petang ini dan berkemungkinan besar sedikit besar berbanding semalam.

Menurutnya, tiada persediaan khas dilakukan, sebaliknya hanya mampu berdoa agar tiada kejadian buruk menimpa mereka sekeluarga.

“Nasib baik benteng penahan ombak dibina mampu menahan kemaraan ombak setiap kali kejadian air pasang kerana jika tiada pembinaan itu, sudah pasti banyak kemusnahan berlaku.

“Petang ini saya jangka air pasang akan berlaku lagi dan seperti biasa segala peralatan dalam rumah tetap kekal di tempat tinggi dan kami bersiap sedia untuk bergotong-royong membersihkan ruang dalam rumah seperti kelaziman,” katanya.

-METRO