PUTRAJAYA, 14 OKT : Enam syarikat telekomunikasi akan menawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia untuk remaja serta golongan kurang berkemampuan bagi tempoh enam bulan bermula esok hingga April depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika melancarkan dua pakej berkenaan di sini hari ini berkata syarikat itu terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi membantu golongan remaja dan para pelajar memperoleh akses internet, dan mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki peranti pintar mampu milik.

“Ia juga bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses internet pada harga yang berpatutan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kedua-dua pakej itu.

Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan kedua-dua pakej itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang dalam tempoh enam bulan.

Pakej Remaja ialah pakej prabayar khusus bagi golongan remaja dan pelajar berumur antara 12 tahun hingga 21 tahun menikmati data 20 gigabyte (GB) dengan harga RM30 untuk 90 hari, yang akan membolehkan pengguna melakukan aktiviti seperti menghantar mesej dan melayari internet.

“Bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data, manakala bagi data 20GB ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video atau permainan dalam talian,” katanya.

Bagi Pakej Peranti pula, Annuar berkata ia membolehkan rakyat memiliki dan menaik taraf kepada peranti mudah alih dan voice over long-term evolution (VoLTE) secara percuma.

Teknologi VoLTE membolehkan pengguna menikmati panggilan berkualiti tinggi di rangkaian 4G, dan peranti berkenaan boleh dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan.

Pakej ini termasuk satu GB data percuma untuk aktiviti produktiviti.Sebagai galakkan untuk syarikat telekomunikasi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Annuar akan menaja 1,000 pakej bagi Remaja dan Peranti untuk anak-anak yatim dan pelajar daripada golongan miskin tegar supaya mereka tidak dipinggirkan daripada menikmati kesalinghubungan yang lebih baik dan meningkatkan produktiviti.

— BERNAMA