COPENHAGEN: Pemain Denmark Christian Eriksen dilaporkan sudah sedar di hospital selepas tumbang ketika aksi Euro 2020 menentang Finland di Copenhagen.

“Christian Eriksen sudah sedar dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut,” kata Kesatuan Bolasepak Denmark di Twitter.

Eriksen tumbang ketika perlawanan hampir menuju waktu rehat dan pegawai perubatan terpaksa melakukan Resusitasi kardiopulmonari (CPR) di tepi padang.

Pemain-pemain Denmark kelihatan bersedih dan mengelilingi Eriksen yang sedang dirawat.

Eriksen yang sebelum itu sedang menerima lontaran ke dalam, tiba-tiba tumbang dan tidak sedarkan diri.

“Perlawanan UEFA Euro 2020 di Copenhagen ditangguhkan akibat kecemasan perubatan.

“Berikutan kecemasan perubatan membabitkan pemain Denmark Christian Eriksen, mesyuarat tergempar diadakan membabitkan kedua-dua pasukan dan pegawai perlawanan,” kata UEFA dalam satu kenyataan. – AFP