Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin melawat Klinik Kesihatan Manong semalam.

Lawatan itu bertujuan meninjau dan melihat keadaan klinik yang dilanda angin kuat.

“Sejurus mendapat aduan berkaitan Klinik Kesihatan Manong dilanda angin kuat yang menyebabkan khemah diterbangkan, saya terus membuat lawatan mengejut.

“Terdapat beberapa kerosakan termasuk khemah menunggu diterbangkan angin pada kejadian itu.

“Klinik Kesihatan ini menaungi beberapa klinik desa yang terdapat di Dewan Undangan Negeri Manong seperti Klinik Desa Ulu Kenas, Ara Panjang dan sebagainya.

“Moga Allah permudahkan segala urusan kita semua,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut berbincang situasi semasa dan keadaan di klinik tersebut bersama-sama Pegawai Perubatan, selain bertanyakan khabar mereka yang terbabit.

Turut hadir dalam lawatan itu, Adun Manong, Mohamad Zuraimi Razali, Penghulu Mukim Senggang,Shamsul Anuar Mustafa, Pegawai Perubatan Kesihatan Klinik, Dr. Mohammad Zikri Fadzil, wakil Pegawai Kesihatan Daerah Ybhg. Dr. Syahrizal dan Ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Ali Johari Ahmad serta Omar Adam.