IPOH, 23 Sept – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun mengadakan lawatan kerja ke pembangunan jajaran Pesisiran Pantai Barat (WCE) Seksyen 11 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong, pada Khamis.

Mohd Zolkafly berkata lawatan berkenaan sebagai tindakan untuk memastikan semua agensi berkaitan dapat mencari penyelesaian berhubung kelewatan menyiapkan seksyen tersebut.

Katanya selain prestasi kontraktor yang kurang memuaskan, isu kejadian banjir akibat kilat di kawasan DUN Trong yang dipercayai berpunca daripada pembinaan WCE turut dibangkitkan dalam Persidangan DUN Ogos lepas.

“Hasil daripada lawatan ini, pihak kontraktor baharu setuju dan akan menyediakan sebuah kolam enapan serta ‘detention drain’ bagi tujuan kawalan kelodak dan kawalan taburan hujan yang tinggi.

“Dalam lawatan ini juga dicadangkan satu pusat perniagaan kecil menjual hasil-hasil dan produk tempatan rakyat Trong dibina secara usahasama antara WCE dan Kerajaan Negeri sebagai tarikan kepada pengguna jajaran ini selain meningkat sosio ekonomi setempat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook malam tadi.

Justeru Mohd Zolkafly berkata kerajaan negeri menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pihak seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Konsesi WCE yang terbuka dan melibat sama dengan pemimpin tempatan untuk memberi sebarang pandangan berkaitan projek berkenaan.

“Impak WCE cukup besar dan perlu dimanfaat sebanyak mungkin oleh kerajaan negeri. oleh itu, isu-isu yang berbangkit khususnya kesan yang buruk terhadap rakyat perlu diselesaikan segera sebelum projek ini siap sepenuhnya,” katanya lagi.

Pada Persidangan DUN bulan lalu, Mohd Zolkafly berkata pembinaan Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Seksyen 11 yang bermula dari Persimpangan Beruas hingga Taiping Selatan mengalami kelewatan berbanding jadual sebenar.

Katanya selain kekangan terhadap bekalan bahan binaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, punca utama kelewatan pembinaan di situ adalah disebabkan prestasi kontraktor utama yang tidak memuaskan.