BAGAN SERAI, 30 Julai: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  sedang memohon mendapatkan pelepasan khas bagi membawa  hasil durian dari negeri ini bagi dipasarkan di negeri-negeri lain yang masih berada di bawah  Perintah Kawalan Pergerakan seperti di Selangor.

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, langkah itu perlu bagi mengelak berlaku lambakan durian yang baru sahaja memasuki  fasa kedua musim raja buah itu di negeri ini.

Menurut beliau, dalam tempoh dua minggu lalu, FAMA berdepan kesukaran untuk memasarkan durian secara penuh kerana sebahagian besar lokasi pasaran antaranya seperti di Selangor tidak dibenarkan masuk.

“Sekarang  memang tengah musim banyak durian di Perak tetapi disebabkan PKP, pemasaran durian di negeri ini tersekat dan terhad.

“Hasil durian boleh dibawa keluar dari sini tetapi bila hendak di bawa ke Selangor, kawasannya tutup jadi sebab itu berlaku lambakan buah.

“Kita telah berhubung dengan pegawai daerah dan polis serta dalam proses untuk mencari jalan untuk mendapatkan pelepasan khas bagi memudahkan pergerakan pemasaran durian dari negeri ini,” kata beliau selepas penyerahan 350 pek durian percuma sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FAMA di Titi Bina Padang Lalang dekat sini hari ini.

Menurut Noorsham, berbanding negeri lain, hasil durian di Perak terutama di kawasan pengeluar seperti Batu Kurau, Tapah, Kuala Kangsar dan Kampung Gajah akan meningkat sebelum berakhir  Oktober depan.

Katanya, FAMA menggalakkan pengusaha durian mempelbagaikan produk berasaskan durian contohnya tempoyak bagi mengurangkan impak lambakan. – UTUSAN