KUALA LUMPUR, 15 SEPT : Jumlah gaji yang dibayar kepada bekas Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini adalah sebanyak RM27,227.20.

Perkara itu didedahkan dalam jawapan lisan bertulis oleh Perdana Menteri bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu serta tugasnya.

Jelas Ismail Sabri Yaakob, tempoh perkhidmatan beliau adalah singkat dan tidak cukup sebulan.

“Memandangkan tempoh perkhidmatan beliau adalah singkat (tidak cukup sebulan), gaji sebulan beliau yang berjumlah RM27,227.20 dibayar secara pro-rata dan juga gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak satu bulan gaji.

“Jawatan ini tidak membabitkan pembayaran pencen,” katanya.

Ahmad Faizal sebelum ini dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan serta meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi rakyat. – UTUSAN