IPOH, 10 APRIL : Rumah Lat dan Galeri yang menghimpunkan semua hasil karya dan lukisan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat di Batu Gajah, dekat sini akan dibuka Julai ini.

Lat berkata, kerja-kerja pembinaan Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah telah siap, cuma, proses pemindahan barang ke dalam galeri belum dilaksanakan.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan Rumah Lat dan Galeri akan dibuka pada bulan Julai ini.

“Menjadi harapan saya rumah dan galeri tersebut akan dibuka sebelum bulan Ogos kerana Ogos merupakan sambutan Bulan Kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Cikgu Ramli di Chemor di sini semalam.

Menurutnya, Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah merupakan lokasi yang sangat strategik kerana ia kawasan yang sedang membangun.

Katanya, lokasi rumah dan galeri berkenaan di kawasan Silverlakes Premium Outlet di Batu Gajah yang sedang dibangunkan akan menjadi tarikan kepada pengunjung.

“Ramai yang bertanya mengapa saya tidak bangunkan Rumah Lat di kampung kelahiran saya. Saya rasa ia tidak sesuai kerana ramai kenalan yang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Selain tapak rumah itu yang berhampiran lombong, sekarang sudah ada kilang simen di sana. Jadi, saya rasa Batu Gajah adalah tempat yang sesuai kerana kawasan itu sedang membangun,” katanya.

Menurutnya, Rumah Lat bukan sahaja menyerupai bentuk rumah asal tempat beliau dilahirkan, malah, reka bentuk binaannya dari struktur dari anjung sehingga dapur memang mengikut bentuk asal.

“Reka bentuk rupa Rumah Lat memang seperti yang dilukis di dalam komik, ” katanya.

Sementara itu, Cikgu Ramli atau Ramli Abu Itam turut menyimpan koleksi karya Lat di galeri miliknya.

Kata Ramli, dia akan menyumbang separuh daripada koleksinya untuk dipamerkan di Galeri Lat.

“Saya akan menyumbang separuh daripada koleksi yang tidak ada dalam simpanan Lat.

“Semua karya Lat tidak akan dijual tetapi saya akan menyumbangkannya kepada Galeri Lat atau memberikannya kepada sesiapa yang betul-betul berminat dan menghargainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE