IPOH, 14 Sept – Gangguan bekalan air yang dihadapi kira-kira 1,600 kediaman sejak lebih setahun lalu di kawasan Taman Ipoh Timur di sini, dijangka selesai menjelang November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program penggantian paip-paip lama dilaksanakan secara berkala di seluruh negeri termasuk di kawasan Canning.

Menurutnya, tindakan telah diambil bagi memastikan bekalan air tidak diganggu yang mana kerja-kerja pengawalan tekanan serta pengezonan semula kawasan bekalan telah dilaksanakan.

“Di samping itu, tangki agihan di kawasan ini juga akan dinaik taraf supaya bekalan air lebih stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat tangki air Taman Ipoh Timur di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abdul Rahman.

Menurut Mohd Zolkafly, LAP dalam proses penyediaan sebut harga bagi menaik taraf rangkaian paip agihan yang telah dikenalpasti.

“Kos awalan 200mm CLMS (640 meter) di Laluan Perajurit 1 bernilai RM260,000 dan 155uPVC PN12 (310 meter) di Hala Perajurit 3 bernilai RM70,000.

“Perkara ini dalam penyediaan sebut harga untuk beri perkhidmatan lebih baik dan dijangka siap dalam bulan November,” ujarnya.

Beliau memberitahu, tahun ini sahaja, kira-kira 95 kilometer paip lama dan usang di seluruh negeri telah diganti dengan paip baharu tahun ini bagi memberi perkhidmatan bekalan air bersih kepada rakyat.

Katanya, kerja-kerja naik taraf itu akan diteruskan memandangkan masih banyak paip-paip lama yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.