IPOH 25 Nov : Pertengkaran empat lelaki berhubung kes kecurian pembesar suara mudah alih berakhir dengan kematian seorang daripada mereka dalam kejadian di pasar pagi Flat Ashby Road, Sungai Senam, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergelutan bersama suspek yang juga membabitkan dua beranak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ekoran suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka.

Katanya, berlaku pertengkaran mulut yang kemudian mengakibatkan pergelutan antara mereka.

“Suspek dikatakan menjumpai mangsa bersama pembesar suara berkenaan. Pertengkaran berlaku sebelum seorang daripada suspek mencekak leher mangsa dari belakang.

“Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pada Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah AEON Kinta City, di sini hari ini.

Menurut beliau, ekoran kejadian itu, ketiga-tiga suspek berusia 60, 43 dan 34 tahun ditangkap bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya turut merampas sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian.

“Permohonan reman akan dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.