Gara-gara sukarelawan mogok, satu keluarga terpaksa mengusung jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal akibat Covid-19 ke kawasan perkuburan.

Keadaan tersebut telah memaksa ahli keluarga pesakit untuk menguruskan perkebumian tersebut sendiri.

Salah seorang ahli keluarga pesakit Dede,60, berkata ketika mahu membawa jenazah adiknya ke kawasan perkuburan, dia mendapati tiada sukarelawan yang ada untuk mengusung jenazah tersebut.

“Selepas mengetahui di sini tidak ada yang mengusung jenazah adik, saya bertanyakan hospital ada sukarelawan atau tidak? Mereka maklumkan tidak ada,” katanya.

Melihat situasi tersebut, Dede mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri jenazah adiknya dengan bantuan pemandu ambulans dan kakitangan hospital.

Difahamkan, mogok tersebut dilancarkan oleh sukarelawan ekoran hantaran Datuk Bandar Bandung, Oded M Danial di laman Facebook yang menuduh para sukarelawan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj yang mahal bagi perkhidmatan mereka.

Hantaran tersebut telah menyinggung para sukarelawan dan menyebabkan mereka melancarkan mogok untuk tidak mengusung jenazah pesakit Covid-19 ke tanah perkuburan.

Sumber: Detik.com