Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan harga roti dan ban Gardenia.

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada benar atau tidak produk itu akan dinaikkan harga.

“Kita pun baru dapat maklumat, harga roti Gardenia dikatakan akan naik bermula 1 Dis ini.

“Kita sedang siasat sama ada betul atau tidak. Sehingga hari ini dia (Gardenia) belum maklumkan kepada kementerian untuk naikkan harga tersebut,” katanya pada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat.