MANJUNG, 26 Sept – Perak tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakan gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor walaupun mendapat permintaan tinggi.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk melihat hasil program percubaan yang dilaksanakan di Langkawi.

Menurutnya, jika program di Langkawi berjaya, pakej gelembung yang sama akan dilaksanakan di Pulau Pangkor.

“Kita tak mahu tergesa-gesa walaupun tahu permintaan tinggi, kita bersabar dulu seminggu lagi.

“Minta tengok apa yang berlaku di Langkawi dulu, lepas itu kita akan bermesyuarat sebab saya difahamkan Melaka telahpun dibenarkan dan juga Genting Highland.

“Tapi Genting Highland bukan pelancongan macam pergi Pangkor, hanya orang tertentu, terpilih dan banyak duit saja yang pergi ke Genting, jadi, ia mudah dikawal,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim, Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.

Saarani berkata, beberapa perkara lain perlu diambil kira sebelum pembukaan Pulau Pangkor untuk gelembung pelancongan seperti penduduk setempat dan peniaga, supaya tidak berlaku jangkitan baharu COVID-19.

Katanya, adalah amat malang jika jangkitan baharu berlaku kerana ia mungkin boleh menyebabkan seluruh negeri Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, selain Pulau Pangkor, Perak juga berhasrat untuk membuka beberapa lagi destinasi pelancongan seperti di Royal Belum, Hulu Perak dan Kinta.