IPOH, 2 Dis- Agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri ini diminta untuk sama-sama menyalurkan bantuan dan keperluan kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.

Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata perkara itu penting dalam memastikan kebajikan penduduk terjaga sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan di kawasan terbabit.

Ujar Mohd Hafez Mubin yang mewakili Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan sumbangan kepada keluarga terjejas di Taman Pinji Mewah, kerajaan negeri juga akan memantau keperluan sampingan selain barangan asas yang diberikan kepada penduduk.

“YAB Menteri Besar telah meminta GLC seperti SADC, FAMA serta MB Inc untuk menyediakan barangan keperluan dan beliau turut menegaskan segala kelengkapan penduduk di kawasan PKPD dijaga.

“Bukan sahaja barangan keperluan seperti ayam,sayur, ikan dan bahan kering lain namun lampin pakai buang dan susu kanak-kanak pun akan kita sediakan untuk mereka.

“Dalam pada itu bantuan turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab mengawal kawasan terbabit,” katanya.

Katanya lagi, penduduk di kawasan tersebut juga boleh berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana sekiranya ada permintaan untuk keperluan barangan harian.

“Sekiranya PKPD bersambung maka kita akan teruskan bantuan itu, bukan sahaja pada hari ini. Setiap rumah kita berikan dua kilo ayam, dua kilo ikan, sekilo sayur dan beberapa barangan lain,” katanya.

Mohd Hafez Mubin berkata bantuan itu disalurkan di dua lokasi yang dikenakan PKPD baru-baru ini iaitu di kawasan Zon B Taman Pinji Mewah dan Zon A Taman Klebang Jaya, melibatkan 1468 buah rumah.

Antara agensi yang terlibat dalam sumbangan hari ini seperti MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian (PPPNP), FAMA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gopeng dan Pejabat Menteri Besar.