IPOH, 12 Sept – Hampir 50,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana Perak telah menerima manfaat dalam pemberian baucer pembelian dan penghantaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebagai permulaan sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan menerusi program Go Cashless n E-Commerce Usahawan Perak (GLeMMER) sejak April dalam usaha meningkatkan jualan usahawan yang terjejas akibat Covid-19.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan peruntukan itu akan ditambah memandangkan sambutan yang menggalakkan.

“Di bawah program ini, kita serap sebahagian kos penghantaran dan kos pembelian yang terpaksa ditanggung pembeli dengan harapan ramai usahawan dapat manfaat,” katanya selepas menerima sumbangan kotak makanan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Negeri Perak (Baru) menerima 60 kotak makanan daripada Yang Dipertua DPMM Perak, Ir Ts Kamarullaffie Ahmad untuk diagihkan kepada pesilat-pesilat yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Zainol Fadzi berkata, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pembeli dan peniaga, malah penyedia platform penghantaran juga mendapat manfaatnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kira-kira 17,000 syarikat telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak sejak pandemik Covid-19 melanda.

Menurut beliau, jumlah itu membuktikan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan dalam masa sama, mereka yang hilang pendapatan cuba menceburi bidang perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Seketariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bersama pelbagai jabatan dan agensi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu usahawan yang terkesan.

“Ia melibatkan jumlah usahawan yang besar dan saya melihat sokongan dan dokongan diberikan kira-kira 50 agensi dan jabatan kerajaan melibatkan usahawan cuba untuk meminimakan permasalahan mereka,” ujarnya.

Zainol Fadzi berkata, pendaftaran dengan SSM itu juga penting bagi memastikan usahawan tidak tertinggal daripada mendapat bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Baru-baru ini ketika PKP Fasa 2, kita bekerjasama dengan SSM dengan membuat promosi diskaun 90 peratus dan boleh mendaftar secara atas talian supaya mereka tidak tercicir,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri Perak juga telah membelanjakan lebih RM46 juta untuk membantu mengurangkan kesan yang dihadapi peniaga mikro, kecil dan sederhana di negeri ini.

Beliau yakin lebih banyak peruntukan bakal disediakan dalam pelan pemulihan negeri yang akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kamarullaffie berkata, walaupun ahli-ahli DPMM Perak turut terkesan dengan pandemik Covid-19, mereka akan terus membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

“Memang perniagaan kami juga turut terkesan tetapi di luar sana ada rakyat yang lebih susah yang perlu kami bantu,” katanya.

Menurutnya, dengan sokongan daripada ahli-ahli dan pelbagai pihak lain, DPMM Perak akan meneruskan program mengedarkan kotak makanan di seluruh negeri.