IPOH, 8 Mei – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak meraikan golongan yang kurang bernasib baik.

Pengerusi GPMS Perak, Muhammad Asree Abd Aziz berkata, aktiviti itu adalah acara yang mereka adakan setiap tahun.

Menurutnya, antara aktiviti yang dianjurkan ialah membeli pakaian raya untuk anak-anak yatim, pemberian kotak Aidilfitri dan kotak makanan kepada golongan B40 dan asnaf.

“Perkara ini memang kita buat setiap tahun untuk memastikan GPMS bukan setakat buat program luaran sahaja tetapi kita ada kumpulan sasaran seperti anak yatim, pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita ketika bersama 35 anak yatim membeli belah di Pasaraya Mydin Manjoi di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 35 anak yatim dari Rumah Anak Yatim JASA dan anak yatim dari Pangsapuri Kepayang dibawa membeli pakaian raya mereka.

Muhammad Asree berkata, mereka juga menyampaikan 300 pek makanan berbuka puasa kepada kumpulan B40 di Pangsapuri Kepayang.

“Pada sebelah malam, bagi meraikan rakan-rakan sukarelawan GPMS yang datang dari jauh, kita akan adakan majlis iftar sebelum kita menyambut Aidilfitri minggu hadapan,” ujarnya.

Katanya, bagi melaksanakan program itu, GPMS Perak mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan kerajaan negeri sendiri.

Sementara itu, Muhammad Asree memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan semua IPT di Perak bagi mendapatkan maklumat mengenai penuntut yang tidak pulang berhari raya ke kampung masing-masing.

“Daripada maklumat awal, kita dapati memang ada pelajar yang tidak dapat balik kerana rumah mereka terletak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Diperketatkan.

“Sebelum ini, sewaktu PKP yang pertama tahun lalu, kita juga mengambil inisiatif memberi sumbangan makanan kepada rakan-rakan kita di IPT yang terputus bekalan makanan.

“Kali ini, kita akan beri dapat bentuk yang berbeza, mungkin kita beri kotak Aidilfitri yang mengandungi kueh raya, ketupat dan sebagainya, untuk mengubati rindu mereka kepada keluarga di kampung,” kata beliau.