CYBERJAYA, 8 APRIL :  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional  (Finas) tidak menerima sebarang permohonan daripada sebuah produksi untuk melakukan penggambaran dalam Gua Matsoorat, Perak seperti yang tular baru-baru ini.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, susulan siasatan oleh pihak Finas sendiri mendapati sebarang aktiviti penggambaran di lokasi tersebut tidak tersenarai di dalam permohonan pihak penerbit.

“Lazimnya dalam permohonan bagi aktiviti penggambaran akan ada senarai terperinci siapa dan di mana lokasi yang terbabit. Saya sudah tengok senarai itu memang Gua Matsoorat tidak disebut langsung dalam permohonan itu.

“Maknanya, permohonan yang kami luluskan berpandukan maklumat yang diterima. Kalau ada nama lokasi berkenaan sudah pastinya kami akan berikan nasihat,” ujarnya yang ditemui pada Anugerah Filem Festival Belia Universiti Limkokwing (YFLKW2020).

Sebelum ini kecoh apabila, sebuah syarikat produksi drama mengaku bertanggungjawab merosakkan fosil berusia jutaan tahun di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini termasuk bahagian dinding gua semasa menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Zakaria kagum dengan usaha Limkokwing dalam melahirkan pengkaryawan yang bakal membawa industri perfileman Malaysia ke satu tanda aras yang optimum.

“Saya mengalu-alukan usaha seperti institusi Limkokwing menerusi pelbagai platform yang ada sekarang sekali gus dapat mempromosi kandungan yang dihasilkan bukan stereotaip. Justeru saya ingin melihat juga di institusi lain di Malaysia dapat menghasilkan atau menganjurkan program sebegini,” akhirinya.

Terdahulu anjuran Film Academy Limkokwing menyaksikan tiga kategori (Pelakon Terbaik, Sim Yuan Wei; Pelakon Layar Terbaik, Siti Nursyirah; Penataan Bunyi Terbaik, Logan Ganesh) disandang oleh peserta Malaysia. – UTUSAN MALAYSIA