IPOH, 25 MAC : Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy masih mengintai tempat dalam pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Menurutnya, adalah menjadi impian setiap pemain untuk menyarung jersi pasukan negara.

“Bohonglah saya jika kata tidak mempunyai hasrat merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Jadi saya akan terus berusaha untuk mendapatkan kembali keyakinan pegawai pasukan sehingga dipanggil semula,” kata Hafizul ketika dihubungi hari ini.

Pemain yang akan menyambut hari ulang tahun ke-28 pada 30 Mac ini pernah menyarung jersi pasukan negara dari tahun 2016 hingga 2018.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa pemain berasal dari Ipoh itu apabila mengalami kecederaan semasa latihan skuad kebangsaan pada tahun 2019.

Ketika itu Tan Cheng Hoe telah memanggil penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin, 24, bagi menggantikan Hafizul yang mengalami kecederaan.

“Semangat saya masih berkobar-kobar untuk menyarung jersi negara dan tidak akan melepaskan kesempatan jika diberikan peluang lagi.

” Namun buat masa ini tumpuan saya terhadap tugasan bersama pasukan Perak FC.

“Saya mahu kembalikan kemampuan ke tahap terbaik dalam usaha membantu pasukan mencapai kejayaan memberansangkan,” ujarnya.

Pemain itu nyata tidak omong kosong kerana membuktikan kesungguhan dengan persembahan bersemangat ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh, Ahad lalu.

Gara-gara ketangkasannya berjaya menyekat penyerang-penyerang JDT daripada bermaharajalela dalam perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu. – UTUSAN ONLINE