PUTRAJAYA, 13 MAC : Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57 di sini, hari ini.

Ia menjadi penggal kedua buat Hamidin yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), selepas mula dilantik menduduki kerusi nombor satu badan induk itu pada Julai 2018, menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Ketiadaan pertandingan bagi dua jawatan timbalan presiden menyaksikan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengekalkan kerusinya, sementara Datuk S.Sivasundaram sah dilantik menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal, yang tidak mempertahankan kedudukannya.

Persaingan dalam mengisi empat kerusi naib presiden menyaksikan Datuk Seri Rosmadi Ismail meraih jumlah undian tertinggi iaitu 36 undi diikuti Mohd Joehari Mohd Ayub (35), Mohd Firdaus Mohamed (32) dan Datuk Posa Majais menerima 30 undi.

Ia sekali gus mengetepikan cabaran bekas timbalan presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yang sebelum ini mengintai peluang kembali menabur bakti bersama badan induk itu, selepas hanya meraih 27 undi.

Bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM pula, empat penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Jefferey Low Han Chau mendapat undi tertinggi, 34 undi, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (28), Christopher Raj Aralanthu (25), dan Md Dali Wahid (25), antara keseluruhan lapan calon dipilih pada pemilihan itu.

Sementara Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan N.Saaran memperperoleh 31 undi, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Seri Shahril Mokhtar (25 undi), bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Datuk Adly Shah Ahmad Tah (21) dan Syed Yazid Syed Omar meraih 25 undi pada undian kali kedua, yang melengkapkan senarai jawatan itu.

Terdahulu, Syed Yazid dan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, terikat dengan jumlah 19 undi sebelum undian semula dibuat melibatkan kedua-dua calon menyaksikan Syed Yazid meraih 25 undi sementara Kamarul Ariffin mendapat 15 undi.

Sementara itu Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah yang turut tidak dicabar kali ini, sah mengisi dua jawatan sebagai ahli jawatankuasa eksekutif wanita.

Sebanyak 20 perwakilan hadir pada Kongres FAM yang berlangsung lebih tiga jam, bermula seawal 10 pagi tadi dengan dua undian diberikan kepada setiap perwakilan.

Berikut merupakan senarai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal 2021-2025:

Presiden:

1. Datuk Hamidin Mohd Amin

Timbalan Presiden:

1. Datuk Mohd Yusoff Mahadi

2. Datuk S.Sivasundaram

Naib Presiden:

1. Datuk Seri Rosmadi Ismail (36 undi)

2. Mohd Joehari Mohd Ayub (35)

3. Mohd Firdaus Mohamed (32)

4. Datuk Posa Majais (30)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif:

1. Datuk Jefferey Low Han Chau (34 undi)

2. N. Saaran (31)

3. Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (28)

4. Christopher Raj Aralanthu (25)

5. Datuk Seri Shahril Mokhtar (25)

6. ACP (B) Md Dali Wahid

7. Datuk Adly Shah Ahmad Tah (21)

8. Syed Yazid Syed Omar (25 undian semula)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita

1. Datuk Suraya Yaacob

2. Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah

— BERNAMA