BATU GAJAH, 24 September (Bernama) — Sebanyak 8,844 pengundi daripada pelbagai latar belakang khususnya dalam Parlimen Gopeng dan Batu Gajah berjaya didekati sepanjang dua hari Program Pemukiman Senator Datuk Hamzah Mohd Kassim.

Hamzah yang juga Ketua Bahagian UMNO Gopeng berkata program yang bermula sejak 22 Sept lepas dan tamat hari ini menjadikan Permukiman Menteri Besar Perak sebagai satu contoh pendekatan dalam usaha mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan terlibat.

Katanya walaupun tidak melibatkan skala besar, program itu telah memberi manfaat terutama kepada para belia yang sedang mencari pekerjaan dan ingin melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.

“Program pemukiman ini tidak bersifat syok sendiri walaupun dijalankan dalam skala kecil. Melalui pemukiman itu kita turut mewujudkan program ziarah kasih yang bertujuan memberi bantuan dalam bentuk keperluan asas kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan dihadiri kira-kira 5,000 penduduk setempat.

Hamzah turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi sama ada dalam sektor awam atau swasta yang membantu menjayakan program pemukiman berkenaan.

–BERNAMA