IPOH, 19 MAC : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan wujud kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkannya.

Menurut Hamzah, beliau bagaimanapun sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Sebelum ini, perkara yang KPN (Ketua Polis Negara) maklumkan adalah kepada umum, saya sebagai menteri tidak dimaklumkan awal.

“Jadi, semalam saya sudah pun menghubungi KPN dan meminta beliau menyediakan laporan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Hamzah, laporan penuh mengenai dakwaan berkenaan diperlukan agar perkara yang diumumkan kepada rakyat selepas ini lebih jelas.

“Selepas ini, perkara yang diumumkan kepada rakyat biar lebih jelas, tidak samar-samar atau menimbulkan persepsi yang kurang baik, saya meminta agar beliau melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

Semalam, Hamzah berkata,  Abdul Hamid perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya mengenai kewujudan kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkannya.

Hamzah, yang juga Pengerusi SPP dilaporkan berkata, Abdul Hamid tidak pernah membawa isu berkenaan kepada SPP, malah, pertama kali beliau mendengar ‘ada kartel dalam PDRM.’ – UTUSAN ONLINE