TAIPING, 3 Ogos – Bekas Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping, Perak pada Selasa atas tuduhan membuat hantaran jelik, termasuk mengenai agama Islam di media sosial, dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, pada April lalu.

Tertuduh, Sarajun Hoda Abdul Hassan, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan
Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan aplikasi Facebook atas namanya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya mengenai agama Islam.

Dia didakwa melakukan kesalahan antara jam 9 pagi hingga 12.52 tengah hari , 26 April lalu yang dibaca di Nombor 15, Jalan Wawasan 8, Taman Wawasan Jaya Parit Buntar, kira-kira jam 9 pagi, 27 April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin di samping perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili tiga peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan
Manjit Singh Saini.