IPOH, 11 Ogos: Orang ramai yang mahu merentas daerah bagi aktiviti sosial di negeri ini mempunyai dua kaedah untuk menunjukkan bukti lengkap dos di sekatan jalan raya (SJR) iaitu sijil digital di aplikasi MySejahtera dan kad vaksinasi.

Bagaimanapun Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya tidak menerima sebarang tangkap layar atau ‘screenshot’ sijil vaksinasi di SJR.

“Yang penting sekali, mereka kena buktikan bahawa sudah dapat dua dos vaksinasi. Kita hanya benarkan dua sahaja (kaedah) iaitu daripada telefon dan kad imunisasi.

“Saya tak nampak (keperluan) screenshot vaksinasi ini dibenarkan. Hanya dua cara itu sahaja, kita akan benarkan untuk lalu SJR dan sebagainya.

“Saya dapat arahan daripada Pusat, dua cara itu sahaja. Ikut logiknya, tidak ada keperluan untuk ‘screenshot’ sebab telefon kita bawa ke mana-mana, hanya buka MySejahtera.

“Melainkan warga emas yang tidak ada telefon pintar, maka mereka tunjukkan kad imunisasi tadi,” katanya.

Mior Faridalatrash turut menasihatkan orang ramai yang sudah lengkap dua dos vaksin untuk mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum memulakan perjalanan merentas daerah atau negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Meru 2B yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini pada Rabu.

PKPD Taman Meru 2B dikenakan PKPD bermula 11 hingga 24 Ogos.

Ujarnya lagi, sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 2, sebanyak 1,606 kompaun telah dikeluarkan kepada individu serta 121 kompaun kepada syarikat yang gagal mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam tempoh tersebut, PDRM Perak juga menerima sebanyak 68,464 permohonan melakukan rentas sempadan daerah dan negeri daripada orang awam.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66,885 permohonan diluluskan, manakala 1,579 ditolak kerana tiada alasan munasabah,” ujarnya lagi.