TELUK INTAN: Isteri Hafize Nizam Ali Supian, pemandu treler yang maut bersama dua anak­nya dalam kemalangan di Gopeng kelmarin berharap majikan suaminya dapat menguruskan tuntutan berkaitan insurans suaminya.

Shamshira Mohamad Norizin, 31, yang tidak bekerja berkata, hanya insurans suaminya dapat membantu untuk dia menampung hidupnya bersama anak bongsunya yang berusia dua tahun, Adeeb Hud.

“Saya harap syarikat suami saya dapat menyelesaikan tuntutan insurans dan lain-lain seperti Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami saya secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Chenderong Balai di sini semalam.

Menurutnya, dia perlu membayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan dan ansuran bulanan kereta.

Sementara itu, sehari selepas kematian suami dan dua anak­nya, Shamshira berkata, fikirannya kini terasa kosong.

“Bukan saya tak boleh terima kehilangan mereka tapi bukan seorang, tiga sekali gus,” katanya.

Mengenai Adeeb Hud, Shamsharina berkata, anaknya itu ada bertanya mengenai ketiadaan ayah dan dua abangnya.

“Saya cuma beritahu ayah bekerja, abang tidur,” katanya.

Dalam kemalangan pada pukul 10.20 malam itu di Jalan Malim Nawar-Kota Bharu dekat Gopeng, Hafize Nizam, 30, dan dua anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian. -UTUSAN