IPOH, 14 Sept: Harga dedak yang meningkat mendadak selain kekurangan pekerja asing di ladang dipercayai antara faktor kenaikan harga ayam di negeri Perak ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, harga dedak kini meningkat daripada RM800 kepada RM1,400 satu tan.

“Sebelum ini harganya lebih kurang dalam RM800 untuk satu tan, sekarang ini maklumat yang kita terima meningkat sampai RM1,400.

“Di Perak, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mengadakan pemeriksaan dan memang kita mendapati ada beberapa tempat yang menjual ayam dengan harga yang agak tinggi.

“Peningkatan (harga ayam) itu dikesan di sebuah pasar basah di Gopeng baru-baru ini dengan harga ayam dijual kepada RM11.50 sekilogram, tetapi ada juga pasar raya mereka boleh jual RM5.90 sekilogram,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan harga maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) di sebuah pusat membeli belah di sini pada Selasa.

Yang turut hadir Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman.

Abdul Yunus berkata, antara faktor lain ialah dari pihak ladang yang turut mengalami kekurangan pekerja asing.

“Jadi, mereka (pihak ladang) terpaksa mengambil pekerja tempatan dengan kadar upah yang lebih tinggi, seterusnya mengalami peningkatan daripada segi kos,”katanya.

Jelasnya lagi, terdapat juga peningkatan harga bekalan anak ayam sehingga pengusaha terpaksa mengurangkan pembelian bekalan tersebut.

“Disebabkan itu berlaku pengurangan bekalan ayam di pasaran dan mengakibatkan harga ayam turut meningkat.

Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai peniaga yang berkemungkinan mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga terbabit.

“Ya, pihak KPDNHEP sedang menyiasat perkara berkenaan, contohnya pihak pasar raya tertentu, mereka ada kontrak dengan pihak ladang, jadi mereka mendapat harga yang rendah dan stabil.

“Perkara ini (kenaikan harga ayam) mungkin tidak akan berlarutan dalam jangka masa yang panjang, pihak KPDNHEP memang sentiasa memantau dan mencari jalan bagaimana untuk menstabilkan harga ayam di pasar,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, sebanyak 125 premis bagi penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 diperiksa sejak 5 September lalu sehingga semalam.

“Tiada tindakan dan aduan diterima sejak penetapan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 yang berkuat kuasa bermula 5 September lalu,” jelasnya lagi.