IPOH, 24 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengesan berlakunya kejadian kenaikan harga telur ayam di pasaran dekat sini, sebagaimana dilaporkan di media tempatan, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata susulan itu KPDNHEP negeri telah membuat pemantauan dan pemeriksaan berkala ke atas semua peniaga runcit, pemborong serta 11 syarikat pengeluar telur ayam utama di Perak.

Katanya hasil pemantauan dan pemeriksaan berkenaan, sebanyak 83 surat pemberitahuan semakan penyelarasan harga telah dikeluarkan KPDNHEP negeri bagi tempoh 13 Ogos sehingga 19 November.

Ujar beliau pada masa sama sebanyak 12 Notis di bawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan bagi tempoh sama.

“Tidak dinafikan terdapat beberapa peniaga runcit dikesan telah menaikan harga telur ayam di Negeri Perak iaitu pada awal bulan Oktober lalu, iaitu daripada RM0.44 sebiji kepada RM0.47 sebiji untuk Telur Gred A.

“Bagi telur Gred B daripada RM0.42 sebiji kepada RM0.45 sebiji dan Gred C daripada RM0.40 sebiji kepada RM0.43 sebiji.

“Hasil pemeriksaan mendapati punca kenaikan berlaku di peringkat pengeluar, oleh kerana pengeluar telur terpaksa menaikan harga ladang disebabkan terdapat kenaikan kos harga makanan ayam di pasaran dunia masa kini .

“Pihak KPDNHEP juga telah menjalinkan kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyelesaikan berkaitan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Abdul Yunus mengingatkan agar semua peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna selain memastikan harganya munasabah serta tiada unsur pencatutan.

Katanya mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan. Manakala bagi Perbadanan atau Syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000,” katanya lagi.

Baru-baru ini sebuah media tempatan melaporkan harga telur ayam di Perak mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 bagi satu papan 30 biji sejak bulan lalu.

Dilaporkan kenaikan harga itu berlaku bagi semua jenis gred sama ada yang dijual di pasar pagi, kedai runcit mahupun pasar raya.