IPOH, 24 Sept – Buat pertama kali selepas 15 tahun, Wisma Umno Perak di sini menerima sumbangan sebuah tong sampah besar bagi menggantikan tong sampah yang rosak.

Sumbangan disampaikan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman.

Mazlan berkata, walaupun sumbangan itu hanya sebuah tong sampah tetapi sebenarnya ia memberi makna yang cukup besar baginya.

“Umno merupakan survival orang Melayu, tanpa parti ini, saya tiada di sini dan saya juga tidak akan menjadi Ahli Majlis.

“Dengan sedikit peruntukan dan saya cari sedikit sebanyak, saya dapat membantu menyumbangkan tong sampah untuk menggantikan tong sampah lama yang sudah reput.

“Tapi yang paling pentingnya, banyak jasa Umno kepada orang Melayu, termasuk saya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan tong sampah 660 liter kepada Setiausaha Kerja Umno Perak, Datuk Mohd Salleh Mat Disa.

Mazlan berkata, selain berkhidmat kepada parti, ahli dan pemimpin Umno juga perlu terus menerus memberi khidmat kepada masyarakat.

Sementara itu, Mohd Salleh merakamkan penghargaan di atas sumbangan itu sebagai tanda prihatin terhadap Umno Perak.

Menurutnya, selama 15 tahun, Umno telah membeli sendiri beberapa tong sampah besar dan inilah pertama kali ia disumbangkan oleh individu.

“Inilah tanda keprihatinan pemimpin dan mudah-mudahan dengan sumbangan ini, kita dapat sejahterakan kehidupan kita.

“Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah tanda ingatan dan pemimpin-pemimpin kita terhadap Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya.