KUALA LUMPUR, 27 Julai: Kerajaan disaran menghentikan penggunaan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membenarkan beberapa sektor beroperasi.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) berkata, ini kerana surat tersebut tidak memberi jaminan bahawa pekerja itu bebas Covid-19.

“Saya ingat surat kebenaran beroperasi MITI dihentikan dulu. MITI bagi surat beroperasi tapi apakah jaminan bahawa surat ini bebas daripada jangkitan virus (Covid-19).

“Boleh atau tidak kementerian melaksanakan dasar yang baru dan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu. Jadikan sesiapa yang nak rentas negeri atau nak pergi kerja, mesti ada satu pasport bukan surat MITI tapi daripada Kementerian Kesihatan.

“Sekurang-kurangnya tunjuk sudah ada RTK, nak pergi kilang sudah ada ujian RTK, ikut MITI mereka fikir pasal kilang tapi bagi saya untuk ini jangan tengok kilang sahaja, perhotelan, usahawan kecil, gerai macam mana nak buka,” katanya dalam sidang khas Parlimen ketika berucap membahaskan ucapan Menteri Kesihatan.

Dalam masa yang sama, Noh turut mencadangkan kerajaan boleh menggunakan ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sebagai sistem pasport perjalanan untuk bergerak.

“Kalau kita boleh buat SOP yang baru, dan kekalkan SOP yang sedia ada, maka boleh bergerak dan buka hotel tapi mesti ada pasport. Kalau RTK ini diiktiraf seminggu, maka akan ada satu sistem sebab MySejahtera boleh buat.

“Saya nak merayu kepada kerajaan untuk subsidikan ujian RTK ini tetapi kalau kerajaan beri subsidi, barulah ada rantaian pemisahan. Saya nak cadang supaya buat pendekatan baru selain kita terus mengamalkan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Noh turut menegur kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya bekerjasama dengan Putrajaya mengekang penularan wabak Covid-19 dan tidak perlu tunjuk hebat kononnya mampu menyeledaikan isu sendiri.

“Saya ingat kerja samalah, ada beberapa negeri, macam Selangor nak tunjuk pandai juga, nak resolve masalah, jangan tunjuk pandai, kena kerjasama,” katanya. -Utusan