IPOH – Hotel-hotel di sekitar Manjung, Gopeng, Taiping dan Lenggong paling laris di tempah ketika ini di Perak.

Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, kawasan peranginan seperti pantai, pulau, tanah tinggi dan hutan lipur menjadi pilihan orang ramai berdasarkan peningkatan tempahan bilik hotel.

Menurutnya, peningkatan ketara dialami pengusaha hotel pada hujung minggu ini sehingga cuti umum Maulidur Rasul pada minggu hadapan berikutan kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.

“Kebanyakan kawasan di Perak menampakkan peningkatan namun ia lebih banyak di kawasan peranginan seperti pantai, pulau, tanah tinggi dan hutan lipur.

“Setakat ini hotel-hotel sedia ada masih mampu menampung permintaan tinggi ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Zamari berkata, pihak pengusaha hotel berdepan masalah kekurangan pekerja berikutan permintaan tinggi tersebut.

Menurutnya, kebanyakan penduduk tempatan tidak berminat untuk bekerja di sektor perhotelan sekali gus menjadi masalah utama kepada pengusaha.

“Ketika ini pengusaha cuba mengunakan tenaga kerja sedia ada dan pada masa sama tetap mencari pekerja baharu kerana pengusaha perlu berhati-hati dalam kos operasi dan ketidaktentuan status operasi menjelang endemik tidak lama lagi.

“Kami risau dan sangsi sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan tertentu seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula pada awal tahun 2022,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua ahli MyBHA Perak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak kerajaan.

Menurut Zamari, pengusaha juga perlu menjadi pengawal paling hadapan memantau pematuhan pelanggan demi keselamatan semua pihak dengan hanya membenarkan pelanggan lengkap vaksinasi dan rendah risiko memasuki premis.

-Sinar Harian