IPOH, 3 Dis – Hujan berterusan sejak dua minggu lalu dikenalpasti menjadi punca kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, pada Khamis.

Berdasarkan rekod tolok hujan Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan berkenaan, jumlah hujan direkodkan sebanyak 217 milimeter selama dua minggu.

Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir. Hamdan Ali berkata, keadaan itu berterusan menyakibatkan cerun menjadi lemah dan menyebabkan runtuhan besar lebih 10,000 meter kiub tanah.

Menurut beliau, pihaknya akan mengambil langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani masalah itu.

“Pertama sekali kita akan buat pembersihan dan disebabkan jumlah tanah yang tinggi, kita akan membuat pembersihan selama lebih kurang satu minggu.

“Selepas itu kita akan buat pengurusan trafik apabila kita membuka laluan nanti supaya pengguna-pengguna jalan raya berhati-hati,” katanya ketika ditemui dilokasi, hari ini.

Menurutnya, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, satu laluan di jalan tersebut akan dibuka terlebih dahulu pada 9 Disember depan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang Jumaat berlaku kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands meragut dua nyawa.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, pemandu lori sayur dan pemandu Alphard, Tan Chee Heng.