PENGKALAN HULU, 2 NOV – Beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat apabila hujan lebat lebih tiga jam melanda kawasan tersebut malam tadi.

Kawasan yang paling teruk dilanda banjir kilat ialah Kampung Simpang Pulai, apabila air sungai berhampiran melimpah disebabkan kelubung (culvert) tidak cukup besar untuk menampung air yang deras.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, air sungai yang melimpah turut menyebabkan berlaku tanah rebak di kawasan tersebut.

“Di Kampung Air Panas, Bongor pula, air naik disebabkan pertembungan arus air di antara Sungai Kuak dan Sungai Pengkalan Hulu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Malam tadi, beliau sempat meninjau beberapa buah rumah yang dilanda banjir kilat, khususnya di Kampung Simpang Pulai.

Beliau mencadangkan agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil Langkah segera mendalamkan semula sungai di kampung-kampung berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“Sebenarnya sungai-sungai di sekitar Pengkalan Hulu sudah lama tidak didalamkan dan ini menjadi salah satu sebab berlakunya banjir kilat,” ujarnya.

Menurutnya, banjir kilat menyebabkan dua buah keluarga terpaksa dipindahkan dan beliau mengambil keputusan memindahkan mereka ke Rumah Rehat Pengkalan Hulu.

“Setakat ini kita tidak perlu membuka pusat pemindahan sementara (PPS) kerana hanya melibatkan dua buah rumah,” tambahnya.

Bagaimanapun, Aznel berkata, enam buah rumah lagi turut terjejas dengan banjir kilat tetapi belum sampai untuk memindahkan mereka ke tempat lain.